Archive for August, 2007
Hukum pegang babi
Aug 24th
Semalam, aku memasuki forum CARI dan aku juga ada mendapat email yang mempersoalkan vet memegang haiwan bernajis berat nie. Aku nak tulis kat dalam forum tu, dan aku nak tulis jugak penjelasan di dalam blog aku. Tapi, apakan daya. Aku insan biasa yang lemah. Lemah…aku ulangi, aku insan lemah sebab sambil menaip aku dok meniarap atas katil sehingga mata aku layu dan tertido. Jadi, mood untuk menaip itu terus hilang bila badan dah penat semacam jek.
Untuk pengetahuan, penulis email yang memberi penjelasan ini adalah coursemate aku dulu dan aku tertarik dengan penjelasan dia yang panjang lebar dan jelas ini. Ini kerana, tak ramai orang yang memasuki course veterinar ini dan mereka tidak tahu bagaimana kami 'berkerja'. Terima kasih Hamka kerana menulis email ini sebab tak perlu insan yang lemah nie menaip panjang-panjang untuk penjelasan umum. Heheheh…siap disemak lagik oleh Prof Rasedee. Hamka, aku memang aware pasal email-email nie sejak kebelakangan nie. Tapi, aku masih tak sempat untuk memberi penjelasan. Alhamdulillah, kor telah memberi satu penjelasan yang aku kira bernas dan bagus berdasarkan perbincangan kor dengan ustaz-ustaz. Jadi, aku ingin meminta kebenaran kor untuk meletak dalam blog aku nie. Kalau kor tak benarkan, aku akan delete post nie. Hehehhe….(tiada charge dikenakan untuk tujuan ini.)..hehehehe….
Ini adalah gambar-gambar yang telah 'merebak' di dalam internet.


Email pertama
Tak tau ler aper agenda mereka nie..betul ke islam atau sajer mempermainkan islam..kekadang depa nie bukan islam tp pakai tudung tangkap gambar cam gitu semata2 nak main2..tp kalau betul depa islam.. kesian ek…
Ulasan doBot :- aduiii…aku confius dengan sesetengah orang yang suka menabur fitnah seperti ini. Adakah mereka dah tak ada kerja-kerja kat pejabat tu??? Kalau tak ada kerja, masuk kerja goverment. Berlambak kerja nak buat nie. Huhuhuhu…
Email kedua
Saya dapat email ini dari egroup `orang awam'. Bukan dari egroup doktor haiwan. Justeru cerita sebenar berkenaan gambar2 ini saya tak tahu..
Bagi orang Islam awam ianya menjijikkan dan seolah-olah menghina agama, tetapi bagi doktor haiwan saya belum pasti kerana dalam proses menjadi doktor haiwan mungkin ada banyak cabaran yang perlu dilalui.
Kalau sahabat-sahabiah semua ada hubungan dengan doktor haiwan, cuba tanyakan pada mereka adakah ini proses `disensitization' yang perlu mereka jalani sebelum menamatkan pengajian dalam jurusan Veterinar atau sebaliknya satu usaha menghina pegangan agama..
Kalau saya dapat maklumat yang betul mungkin saya dapat membantu egroup umum yang menyebarkan gambar ini…
Ulasan doBot :- Penghantar email nie bagus, dia mewakili diri dia yang mengatakan dia jijik terhadap makhluk Allah nie. Tapi, pada masa yang sama, dia ingin penjelasan yang lebih mengenai karier vet nie.
Email Saudara Hamka.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Kepada yang berkenaan,
Semoga sentiasa dalam lingkungan rahmat dan kasih sayang Allah swt. Saya merasa terpanggil untuk memberikan sedikit maklumbalas berkenaan beberapa gambar yang diedarkan menerusi internet yang menunjukkan seorang siswi Fakulti Perubatan Veterinar UPM yang bergambar berdekatan serta memegang/menyentuh anjing dan babi.
Email ini saya tulis secara panjang lebar dengan harapan huraiannya dapat difahami dengan jelas dan tidak disalah tafsirkan. TETAPI buat mereka yang tidak mempunyai masa yang banyak untuk membaca cukuplah saya katakan TIADA APA-APA MASALAH PADA GAMBAR TERSEBUT!. IA TIDAK MENGHINA ISLAM SEBALIKNYA MENERANGKAN BAHAWA UMAT ISLAM BOLEH MENYENTUH ANJING DAN BABI. ADALAH MENJADI TANGGUNGJAWAB MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH UNTUK MENGURUSKAN KESELESAAN HIDUP HAIWAN INI DENGAN MEMASTIKAN KEBEBASAN DAN KESIHATANNYA TERJAGA.
Tiada nas yang mengatakan menyentuh anjing dan babi itu haram. Yang haram ialah memakannya. Kita perlu jelas pandangan Islam terhadap 2 makhluk ini. Kedua-duanya adalah ciptaan Allah, dan Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia, sebaliknya setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Adakah Allah menciptakan anjing dan babi ini untuk dipandang hina oleh umatnya?
Sebelum meneruskan perbincangan, izinkan saya memberi sedikit pengenalan diri, saya merupakan salah seorang graduan Doktor Perubatan Veterinar tahun 2006. Kini menyambung pelajaran dalam bidang master fisiologi di Fakulti Perubatan Veterinar UPM semester pertama. Sebelum ini, bersekolah di Sek. Men. Keb. Agama Kuala Selangor. Saya bukanlah orang yang paling sesuai untuk memberi penjelasan kerana yang terbaik adalah mereka yang mendalami ilmu agama agar dapat menjelaskan dengan menyatakan nas-nas serta tafsiran yang tepat serta mendalam. Walaubagaimanapun saya akan cuba menjelaskan dengan pengetahuan agama sedikit yang saya ada dan hasil daripada perbincangan secara peribadi dengan ustaz-ustaz serta seminar yang pernah kami adakan di fakulti sendiri berkenaan dengan isu ini.
Pertamanya, sebagai seorang doktor veterinar (doktor haiwan) sememangnya kami mungkin akan berhadapan dengan situasi merawat anjing atau babi. Bagi doktor veterinar atau ringkasnya vet, yang bekerja di klinik-klinik haiwan kebanyakannya akan merawat anjing dan juga kucing. Walaubagaimanapun terdapat sesetengahnya yang menghadkan rawatan kepada kucing sahaja. Berkenaan dengan babi, kebiasaannya tiada vet muslim yang akan bekerja di ladang ternakan babi. Walaubagaimanapun, bagi vet yang bekerja di jabatan perkhidmatan haiwan, adakalanya mereka akan ke ladang ternakan babi untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan ladang tersebut mengamalkan amalan pengurusan ladang yang baik supaya bebas daripada penyakit-penyakit berbahaya seperti penyakit Nipah yang merebak pada tahun 1999 yang turut membahayakan nyawa manusia. Terdapat juga vet yang bekerja di makmal yang memproses sampel-sampel yang datang daripada babi atau anjing seperti darah, najis, organ-organ dan sebagainya
Justeru, dalam kurikulum Doktor Perubatan Veterinar, pelajar akan terlibat mengendalikan anjing dan babi. Bermula dengan organ-organ haiwan tersebut dalam amali bagi subjek anatomi dan fisiologi sehinggalah kepada mengendali, merawat dan membuat post mortem terhadap haiwan tersebut secara seluruhnya apabila memasuki tahun para-klinikal dan klinikal. Secara umumnya saya bersetuju dengan perkataan “desensitization” yang digunakan oleh salah seorang yang menghantar email tersebut kepada saya. Sebagai vet, proses ini perlu kerana kami tidak sepatutnya jijik untuk merawat pesakit kami kerana itu merupakan tanggungjawab kami yang juga terkandung dalam ikrar yang dilafazkan oleh setiap vet ketika bergraduan.
Apabila memasuki tahun ke 4, pelajar vet akan mengikuti subjek pengenalan terhadap klinik. Dan subjek klinik pada tahun ke 5. dalam kedua-dua subjek ini pelajar akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang kecil dan kumpulan – kumpulan ini akan bergilir membuat praktikal dalam amalan-amalan yang telah ditetapkan. Pelajar-pelajar ini akan membuat praktis selama seminggu dalam setiap amalan. Amalan-amalan ini termasuklah amalan haiwan kesayangan yang melibatkan rawatan terhadap anjing dan amalan ternakan babi yang memerlukan pelajar ke ladang ternakan babi untuk membuat pemerhatian, diagnosis penyakit serta rawatan. Daripada apa yang saya lihat, gambar-gambar yang diedarkan menerusi internet itu adalah gambar yang diambil oleh pelajar ketika praktikal sama ada dalam subjek pengenalan klinik atau subjek klinik ini. Pada pandangan saya, pelajar itu berkongsi gambar – gambar tersebut secara umum dalam internet bukanlah bertujuan menghina agama atau sebagainya, sebaliknya sekadar berkongsi suatu pengalaman yang mungkin tidak dilalui oleh orang ramai.
Berkenaan dengan isu menyentuh, memegang, merawat anjing dan babi yang dikategorikan sebagai najis “mughollazoh” iaitu najis berat dalam feqah, ianya bukanlah haram seperti mana yang dikatakan oleh sesetengah masyarakat melayu. Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana saya sebagai seorang muslim boleh menyentuh anjing dan babi yang haram disentuh?. Berdasarkan pelajaran feqah yang saya pelajari sejak sekolah rendah agama hinggalah sekolah menengah, menyentuh najis “mughollazaoh” tidak haram. Apa yang dinyatakan oleh hukum feqah ialah apabila kita menyentuh najis “mughollazoh” kita dikehendaki menyucikannya dengan bersamak iaitu membasuh dengan air yang telah dicampurkan dengan tanah sekali dan membilasnya dengan air mutlak sebanyak 6x. Yang haram berkaitan dengan anjing dan babi ialah memakannya bukan menyentuhnya.
Sebagai seorang melayu, saya maklum pandangan masyarakat melayu yang merasakan ‘geli’ atau jijik terhadap anjing dan babi. Mungkin ini adalah disebabkan nilai yang diwarisi daripada ibubapa yang mungkin berasal daripada usaha untuk mengelak daripada tersentuh anjing dan babi yang mana proses menyucikannya dilihat sebagai agak leceh dan jika tidak dilakukan akan menjejaskan ibadah. Saya sendiri, walaupun telah jelas berkenaan dengan hukum menyentuh anjing dan babi, merasa kekok dan sedikit ‘geli’ apabila kali pertama memegang jantung babi apatah lagi ketika kali pertama mengangkat anjing untuk diletakkan di atas meja pemeriksaan yang mana tekniknya memerlukan kita merapatkan badan anjing tersebut ke badan sendiri kerana itu merupakan teknik yang selamat bagi mengelakkan kecederaan yang tidak dingini dalam proses mengangkat tersebut. Namun, kita perlu jelas pandangan Islam terhadap 2 makhluk ciptaan Allah ini. Adakah Allah menciptakan anjing dan babi ini untuk dipandang hina kerana itu ianya diistilahkan sebagai najis berat? Jika ya mengapa terdapat hukum feqah yang menyatakan haiwan buruan yang dibunuh oleh anjing buruan yang terlatih halal dimakan dengan syarat pemburu berniat kerana Allah ketika melepaskan anjing buruan tersebut. Bagaimana pula dengan kisah seorang pelacur yang diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan dengan menggunakan kasutnya?
Anjing dan babi juga merupakan makhluk ciptaan Allah yang mana termasuk dalam tanggungjawab manusia sebagai khalifah di mukabumi untuk menguruskannya. Sebagai makhluk ia juga seperti manusia memerlukan makanan apabila ia lapar, minuman apabila haus dan ia perlukan rawatan apabila ia sakit, walaupun mungkin dari sudut keutamaannya berbeza dengan manusia. Justeru saya melihat apa yang dipelajari oleh vet berkenaan dengan anjing dan babi serta kewajipan merawatnya termasuk dalam perkara fardhu kifayah dan ia memenuhi sebahagian tanggungjawab manusia sebagai khalifah.
Walaubagaimanapun menjadi tanggungjawab vet untuk mengetahui tuntutan agama yang perlu dipenuhi dalam kerjayanya. Vet dan pelajar doktor perubatan veterinar perlulah berhati-hati dan tidak sambil lewa dalam soal kesucian tubuh badan dan pakaian kerana ianya akan menjejaskan ibadah. Yang terbaik ialah mengasingkan pakaian kerja dengan pakaian harian terutamanya pakaian untuk solat jika tidak mahu menyamak pakaian kerana khuatir pakaian akan rosak dan sebagainya. Bagi orang awam pula tidak perlu risau kerana najis ini “tidak berjangkit” maksudnya jika seorang vet hanya membasuh tangannya dan telah membersihkan zat najis tersebut selepas bertugas tetapi masih belum menyamak tangannya, ia tidak “berjangkit” jika anda bersalaman dengannya kerana tiada zat najis (warna, bau dan rasa) pada tangan vet tersebut. Tetapi vet tersebut perlu menyucikan tangannya dengan bersamak sebelum solat. Hal yang sama jika anda bersalaman dengan orang bukan Islam yang mungkin memelihara anjing di rumahnya. Begitu juga dengan tapak kasut anda yang memijak mukabumi yang pernah dipijak oleh anjing atau babi. Tidak perlu risau dan terlalu was-was selagi tiada zat najis. Walaubagaimanapun terdapat cadangan daripada sesetengah ustaz untuk menyamak seluruh badan sekali sekala bagi orang awam dan mungkin berkala bagi vet seperti sebulan sekali supaya jika terdapat najis “mughollazoh” pada badan yang tidak diketahuinya, ia dapat disucikan. Namun saya kira ini adalah sekadar satu pandangan bukan kewajipan yang baik untuk mereka yang was-was praktikkan. Sebenarnya terdapat pelbagai persoalan – persoalan yang timbul yang berkait dengan kerjaya vet seperti bagaimana vet muslim merawat kuda yang terlibat dalam lumba kuda, apakah hukumnya?, bagaimana pula dengan bayaran upah perkhidmatan yang diterimanya?adakah ianya halal? Begitu juga jika vet muslim memberi perkhidmatan nasihat untuk memperbaiki usaha perladangan babi, bagaimanakah hukumnya? Adakah ianya berdosa kerana membantu orang memakan babi? Bagaimana jika membuat pembedahan yang panjang sehingga terlepas solat? Adakah sama seperti pembedahan manusia yang membolehkan solat tersebut dijamakkan? Banyak lagi soalan-soalan yang datang samada daripada orang awam, dikalangan vet atau pelajar vet sendiri yang saya sendiri tidak mampu menjawabnya dengan ilmu agama yang cetek ini. Saya kira perkara yang sama juga berlaku atau akan berlaku dalam bidang kerjaya anda jika anda mencarinya…ini kerana Islam itu adalah cara hidup yang syumul, elemennye terdapat dalam semua bidang, dan yang indahnya, Islam sudah pun ada jawapannya, terpulang pada kita untuk menyelidik dan memahaminya dengan panduan dan tunjuk ajar daripada mereka yang ahlinya.
Akhirnya, sebagai seorang muslim, marilah kita bersama mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan salah faham masyarakat khasnya masyarakat melayu berkaitan dengan isu ini. Perkara ini banyak dipertikaikan oleh masyarakat yang bukan Islam terutamanya mereka yang kuat memegang nilai kebajikan haiwan. Seorang senior saya dalam projek tahun akhirnya yang berkenaan dengan kebajikan haiwan, menjalankan satu soal selidik. Salah satu daripada soalannya adalah “jika anda melihat seekor anjing yang tersepit kakinya, adakah anda akan menolong melepaskan kakinya? Nyatakan alasan bagi setiap jawapan anda”. Sebagai seorang muslim saya merasa sedih dan malu apabila terdapat satu jawapan yang menyatakan “Tidak, kerana saya seorang Islam”. Senario ini harus kita ubah kerana sebagai seorang Islam kita perlu menjaga 3 hubungan iaitu hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan makhluk yang lain. Sesungguhnya Islam itu syumul, segalanya sudah pun digariskan panduannya, terpulang kepada kita untuk mencari, memahami dan mengamalkannya. Wallahua’lam
Saya mengalu – alukan mereka yang ingin mengemuka pandangan, memperbetulkan fakta atau berkongsi maklumat baru berkenaan dengan hal ini. Anda bolehlah menghantar email kepada lapanjuta[at]yahoo.co.uk. Sekian moga bermanfaat untuk semua. Terima kasih.
Dr. Mohd Dzulhamka Kamaluddin
DVM, UPM
Disemak oleh,
Prof. Dr. Rasedee Abdullah
Pensyarah
Fakulti Perubatan Veterinar
Universiti Putra Malaysia
Ulasan doBot:- Syabas Hamka, aku baca artikel kor nie berulang-ulang supaya masuk dalam otak aku. hehehhe…
‘Pertanian adalah perniagaan’
Aug 17th
Pertanian adalah satu perniagaan. Itu la yang sering diwar-warkan oleh kerajaan kita semenjak dua menjak nie. Sebab apa??? sebab nak menaikkan sektor pertanian. Dulu, kita bergantung kepada pertanian, selepas itu tidak. Kemudian, bila time Pak Lah pulak, habis diwar-warkan 'Pertanian adalah satu perniagaan'. Kenapa tidak diletak, 'Pertanian adalah salah satu cabang perniagaan'. Dah tu, benda lain bukan perniagaan ker? sebagai contoh, 'Gunting rambut adalah perniagaan', 'Pendidikan adalah perniagaan' dan lelain lagik. Banyak lagi yang boleh disebut sebagai perniagaan. Hampir 90% perkara di dunia nie datang dari perniagaan.
Di dalam surat-surat rasmi kerajaan, selalunya akan ditulis di bawah sekali, 'Saya yang menurut perintah'. Kini, aku lebih cenderung melihat surat-surat itu telah ditukar kepada, 'Pertanian adalah perniagaan'. Adakah ini untuk membodek menyahut suruhan Pak Lah? kenapa surat rasmi kerajaan kena letak ayat 'Pertanian adalah perniagaan'?.
Adakah orang gomen pun juga menjalankan perniagaan??? Erkkk….tepuk dada tanya selera. Heheheh…
Tanda-tanda dah tua
Aug 12th
Masa zaman kecik-kecik dulu kalau kita nak main khawin-khawin, orang tua kita akan marah. Diaorang akan bercakap, "Ish!!! budak kecik mana leh main khawin-khawin". Kita pada masa tu akur, tak paham apa yang dikatakan oleh mereka yang terlebih makan garam dari kita pada masa tu. Apa sebab musabab yang logik sehingga kita nak main khawin-khawin pun tak leh masa tu. Pada saat itu, kita rasa hanya orang tua jek yang boleh khawin. Budak kecik tak leh khawin, malahan main khawin-khawin pun tak leh. Apa dosa kami masa tu sehingga nak main khawin-khawin pun tak leh???. Kami bukan nak apa, kami cuma nak main-main untuk hiburkan hati jek. Ada yang main masak-masak, ada yang main police sentry, ada yang main ultraman, dan macam-macam lagik. Kenapa kita tak leh nak main khawin-khawin masa tu???.
Kini aku paham, kenapa mereka tak bagi kita main khawin-khawin pada masa tu. Sebab, masa tu kita budak lagik. Orang tua jek boleh khawin, budak-budak tak leh khawin.
Semalam, hari pertunangan aku dengan Suzalina. Maknanya, aku dah tua. Aduiiiii….dah tua ker aku nie??? Sebab tu aku leh tunang. Khawin belum lagik sebab aku belum cukup tua kot (kalau diterima pakai situasi zaman kanak-kanak). Hehehehe…Oleh yang demikian, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada kengkawan yang mengucapkan tahniah di atas pertunangan aku. Minta maaf jika aku tidak dapat meng'reply'nya melalui sms. Insya-Allah dengan doa kalian semua, aku akan melangsungkannya secepat mungkin jika tiada aral yang melintang. Tak lupa jugak aku ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga aku kerana sudi mewakilkan aku. Toce…toce…Eh, tak lupa kepada Amat yang sudi menjadi jurukamera dan pengapit aku. Hahahahha….kena paksa atau rela Mat?!.
Aku: "Mak, betul ker jari tu???"
Kesian anak buah aku nie. Berpeluh, tapi tak menangis. Kagum aku.
"Sila…sila makan. Jangan segan-segan." (Ehh ehh…dia pulak yang sibuk-sibuk)
Klik sini untuk lihat lebih banyak gambar
Ukur sempadan
Aug 8th
Minggu nie aku dapat menghabiskan banyak masa di ladang untuk menyelesaikan kerja-kerja yang masih terbengkalai. Pada hari Selasa yang lepas, aku pergi menyaksikan dengan sendiri hasil kerja yang dilakukan oleh Juru Ukur yang telah dilantik oleh Kementerian. Terkejut beruk betul aku bila menyaksikan beberapa kawasan di ladang ini akan diambil oleh orang lain. Yang tinggal hanya kawasan seluas 1000 ekar sahaja. Selebihnya, hampir 300 ekar hilang begitu sahaja.
Bila aku melihat batu-batu sempadan yang telah di tanam oleh Juru Ukur. Bertambah terkejut aku lagik, bila jiran ladang ini menanggalkan batu sempadan yang telah ditanam. Ish, nak kata kerja benda lain tak logik. Ini bukan kerja 'kerbau pendek'. Ini kerja orang nie. Tapi, kalau kerja orang, kenapa dia tak ambil jek batu tu. Kenapa ditinggalkan pulak kat sini. Menurut kata Juru Ukur tu, dia dah tanam 2-3 kali tapi masih tercabut lagik batu tu. Adui. Kenapa la diorang cabut batu sempadan tu.
Untuk memeningkan lagik kepala aku yang dah memang sedia pening kepala. Banyak batu sempadan di ladang ini berada di tempat yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, ada yang berada tengah-tengah jalan merah dan ada yang berada sebelah dengan padang ragut. Ini memerlukan kos yang tinggi untuk membuat jalan baru dan pagar bagi batu sempadan baru nie.
Pagi hari tu aku borak ngan staff aku. "Boss, OT ladang lain dah masuk", sapa staff aku. "Ehhh, yea ker??? Mungkin OT kita pun dah masuk", aku jawab dengan muka terkejut. Blur muka staff tu tengok muka aku sebab dia tahu aku yang sign OT diorang. Lepas tu aku pulak yang tanya 'yea ker' yang OT mereka dah masuk. Hehehehhe…..Aku sajek buat terkejut di mana sememangnya aku tahu OT mereka tak dapat lagik. Ish, OT OT OT….itu jek.
Kawasan yang bukan milik PTH Jelai Gemas lagik
Batu yang telah dikorek berulang kali.
Nasib gaji naik, tapi…
Aug 1st
Sekarang nie orang kerajaan dah naik gaji. Aku ingatkan makin bersemangat mereka (orang kerajaan) untuk bekerja. Tapi, ada pulak yang malas nak buat kerja terutama bila buat over time. Ya la, OT tak naik. Itu yang tak semangat kot. Cuba OT naik, mesti diorang semangat nak buat kerja. Agaknya, bagi diorang sekarang, OT tu dah tak memberi makna dah sebab gaji yang mereka dapat dah cukup besar kot.
Aduh…macam-macam ragam orang nie kan??? Gaji kecik bising, gaji besar malas, kalau potong gaji??? memekak???
Hujung minggu baru nie aku berkesempatan untuk pergi ke Premier Cup untuk show jumping kuda. Ini baru pertama kali aku pergi ke competition kuda selepas bergraduasi. Ini ada sedikit gambar untuk tatapan semua.
Bayangkan ketinggian rider tu dari tanah. Fuhhh…
Ayuz…kor tangkap gambar sapa nie???
Hiyaaaaaa…..lompat lagik!!!sampai kotor seluar dia

